Peguam Tun M pertahan Anwar dalam spekulasi campur tangan pelantikan hakim

PETALING JAYA: Peguam kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Haniff Khatri mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung spekulasi yang mendakwa terdapat campur tangan Anwar dalam proses pelantikan hakim di negara ini.

Haniff mengulas perkara itu susulan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar mencampuri dalam lantikan hakim tertinggi negara serta mencadangkan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang-di Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.

“Mengenai cadangan supaya ketua hakim negara yang akan bersara mencadangkan nama untuk pengganti, saya rasa itu tidak begitu tepat,” kata beliau di dalam podcast KiniTV Bahasa Malaysia.

Memetik Malaysiakini, Haniff berkata dia mendapati Tengku Maimun tidak membuat sebarang rujukan langsung terhadap dakwaan campur tangan Anwar.

Berhubung akta berkenaan, Haniff menjelaskan SPK ditubuhkan pada 2009 bagi memperbaharui proses pelantikan, namun masih terdapat konflik di bawah Seksyen 5 yang menetapkan komposisi sembilan anggotanya.

‘Bagaimana kita nak pastikan SPK berkecuali, bukannya majoriti dilantik perdana menteri? Itu isu utama,” katanya.

Sebelum ini, pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini, Tengku Maimun mengeluarkan ucapan yang mencadangkan agar peranan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman disingkirkan kerana dakwanya ia akan mengukuhkan kesaksamaan proses pemilihan dan memastikan ia kekal bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik.

Untuk rekod, SPK yang juga dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara memuatkan barisan figura daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya di Mahkamah Tinggi, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang akan dilantik oleh Perdana Menteri dan empat orang terkemuka yang dilantik oleh Perdana Menteri berdasarkan perundingan dengan pihak berkepentingan.

Anda Mungkin Berminat