Peguam wakili ibu bapa Zayn Rayyan tarik diri

Peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditahan reman tidak lagi mewakili pasangan suami isteri itu bermula pada Selasa.

Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, dirinya tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya menarik diri dari mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kerana ingin memberi tumpuan kepada kes-kes lain yang sedang saya kendalikan.

“Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Tambah Mahmud, dia berharap agar perjalanan kes tersebut berjalan dengan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.

Terdahulu media melaporkan ibu bapa Zayn Rayyan ditahan dan direman tujuh hari hingga 7 Jun depan bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.

Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sebelum itu mereka ditahan di sekitar Puncak Alam.

Dalam perkembangan sama, Datuk Zayn Rayyan mengesahkan dia sudah melantik peguam baharu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat