PETALING JAYA: Pejabat baharu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Januari 2026, sebagai langkah penting meningkatkan keupayaan negara menangani kes penipuan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan pejabat baharu itu akan memperkukuh usaha kerajaan dalam menyelamatkan wang mangsa penipuan khususnya jika laporan dibuat dengan segera.
“NSRC yang sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia telah dipindahkan ke Menara 2 MCMC, sekali gus membolehkan operasi yang lebih cekap dan bersepadu,” katanya dalam temu bual bersama media tempatan.
Menurut Fahmi, pemindahan tersebut membolehkan NSRC beroperasi 24 jam sehari dengan jumlah petugas yang lebih ramai, sekali gus meningkatkan keupayaan pusat itu untuk bertindak pantas terhadap laporan penipuan.
Beliau berkata, ketika mula dilancarkan pada 12 Oktober 2022, NSRC yang boleh dihubungi melalui talian 997 hanya beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam dan menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari.
“Sejak dipindahkan ke Menara 2 MCMC pada 17 November lalu, NSRC beroperasi sepanjang masa dan menerima antara 500 hingga 700 panggilan sehari,” katanya.
Fahmi turut menasihatkan mangsa penipuan supaya segera menghubungi NSRC dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas insiden berlaku bagi meningkatkan peluang menyelamatkan wang yang telah dipindahkan kerana kelewatan boleh menyukarkan tindakan lanjut.
Beliau berkata, NSRC yang kini berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri akan terus diperkasa khususnya dalam membekukan akaun dan menjejak aliran wang melalui kerjasama bersepadu Polis Diraja Malaysia dan bank-bank komersial yang ditempatkan bersama di pusat operasi baharu itu.
Fahmi turut menekankan bahawa analisis awal mendapati kelewatan membuat laporan merupakan faktor utama yang menyukarkan usaha menyelamatkan wang mangsa.
Katanya, kerajaan turut menegaskan semua bentuk penipuan dalam talian dianggap jenayah tanpa mengira kaedah atau motif mangsa.








