SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa dakwaan tular membabitkan seorang pegawai kerajaan negeri yang dipetik daripada sumber WhatsApp tidak dikenal pasti adalah fitnah bermotif politik, sekali gus menolak tuduhan liar yang cuba mencemar imej pentadbiran negeri.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada Ahad, pejabat itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berfakta, menyeleweng dan berniat jahat, malah muncul sewaktu Menteri Besar sedang membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri.
“Dakwaan itu jelas berniat jahat dan tidak berasas sama sekali,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat oleh pegawai terlibat bagi memastikan pihak berkuasa dapat menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Laporan polis akan dibuat oleh pegawai terlibat sebagai langkah memastikan pihak berkuasa dapat menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Pejabat Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada agenda membangunkan negeri serta mengangkat martabat rakyat dan bukannya melayan politik tidak matang yang cuba menimbulkan persepsi palsu serta mengelirukan.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kewujudan kumpulan WhatsApp dinamakan ‘MB Selangor’ yang mengumpulkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, pembangkang dan pemimpin parti dari negeri itu ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2026 pada Jumaat.
Dalam kumpulan tersebut, pelbagai tuduhan dilemparkan termasuk dakwaan mengenai kekayaan mendadak serta pelantikan ke jawatan berkaitan kerajaan negeri terhadap pemimpin terbabit.








