PETALING JAYA: Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran imej palsu di media sosial yang mendakwa Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan serta tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyebarkan kandungan palsu dan sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih.








