Pekerja Adakan Protes Aman Susulan Kebakaran Kilang Kapas

RAWANG: “Kami Ditindas”, “We Need Justice”, “Hak Pekerja Telah Ditekan”. Itulah laungan dan mesej penuh harapan yang bergema di hadapan sebuah kilang kapas (Carefree Cotton Industrial Sdn Bhd), di sini, pagi ini

Dilaporkan, puluhan pekerja berkumpul secara aman bagi menyuarakan kekecewaan mereka selepas kebakaran yang hampir memusnahkan keseluruhan premis itu.

Insiden yang berlaku pada 29 Jun lalu bukan sekadar tragedi kebakaran biasa tetapi kini menjadi titik tolak kepada satu gerakan pekerja yang mahukan penjelasan, keadilan dan jaminan masa depan.

“Kebakaran bukan salah kami”, tulis di salah satu kertas protes yang dibawa oleh pekerja kilang.

Para pekerja mendakwa mereka tidak terlibat dalam sebarang kecuaian yang menyebabkan kebakaran.

Malah, beberapa individu meluahkan rasa bimbang tentang kemungkinan kehilangan mata pencarian, dengan ada yang mendakwa mereka telah digantung kerja tanpa penjelasan rasmi.

Difahamkan, apa yang dituntut oleh para pekerja ini termasuk penjelasan rasmi tentang punca kebakaran, perlindungan kerja dan pampasan audit keselamatan kilang secara telus dan saluran komunikasi terbuka antara majikan dan pekerja.

Terdahulu, kebakaran yang berlaku sekitar 10 pagi Ahad itu memusnahkan lebih 90 peratus struktur kilang.

Operasi memadamkan api melibatkan 23 anggota bomba dan empat jentera dari beberapa balai berhampiran.

Anda Mungkin Berminat