Pekerja Cedera, Syarikat Didenda RM25,000

AYER KEROH: Sebuah syarikat didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen 2 di Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menjalankan pentaksiran risiko sehingga menyebabkan kemalangan di tempat kerja.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, majikan didapati gagal menyediakan pemegang kayu semasa aktiviti memotong kayu pallet menggunakan mesin gergaji bulat, yang mengakibatkan kemalangan kepada seorang pekerja pada 7 Mei 2025.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 18B(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang mewajibkan majikan menjalankan pentaksiran risiko terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Melaka iaitu Aniza Mohd Anuar dan Tuan Izwadi Tuan Mat, manakala siasatan dijalankan oleh Azran Abidin.

“Majikan bertanggungjawab memastikan setiap risiko di tempat kerja dikenal pasti dan dikawal bagi mengelakkan kemalangan,” menurut kenyataan pihak jabatan berkenaan.

Mahkamah turut menegaskan kepentingan pematuhan undang-undang keselamatan pekerjaan sebagai langkah melindungi pekerja serta mencegah kejadian tidak diingini pada masa hadapan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat