Pekerja kedai serbaneka dibuang kerja selepas simbah anjing dengan air panas

PETALING JAYA: Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka yang tular kerana menyimbah air panas ke atas seekor anjing telah dikenakan tindakan buang kerja.

KK Super Mart dalam kenyataan memaklumkan, kontrak kakitangan terlibat ditamatkan serta-merta berikutan tularnya kejadian tersebut.

“Siasatan dalaman dijalankan dan pihak kami sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit.

“Kakitangan itu dipanggil semula ke ibu pejabat dan setelah semakan dibuat, kontraknya ditamatkan serta-merta. Kami menyedari insiden ini dan mengambil perkara ini dengan sangat serius.

“Di KK Super Mart, kami dengan tegas mengecam sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan tidak bertolak ansur dengan tindakan sedemikian.

“Kami juga sudah menghubungi pemilik pusat penjagaan haiwan dan bersedia untuk menanggung kos rawatan perubatan haiwan berkenaan,” katanya pada Ahad.

Terdahulu, tindakan pekerja itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut dimuat naik di laman sosial Facebook Fauziah Paws Care.

Menerusi rakaman itu, individu berkenaan dilihat mengisi air dari mesin pemanas ke dalam cawan sebelum menyimbah ke arah anjing yang berada di pintu masuk premis.

Tindakan individu tersebut mendapat kritikan warga maya yang menyifatkan ia sebagai tidak berperikemanusiaan dan difahamkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Menglembu.

Anda Mungkin Berminat