Seorang lelaki dipercayai pekerja kilang patah kaki dan bahu selepas terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter di kawasan kilang di Kulim Hi Tech, Kedah pada Ahad.
Menurut Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mat Puat Ghazali, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 8.58 malam sebelum mengarahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
“Seramai sembilan orang anggota dari BBP Kulim Hi Tech dan BBP Kulim telah ditugaskan dalam operasi tersebut bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit EMRS.
“Mangsa yang merupakan pekerja warga Bangladesh berusia 25 tahun mengalami kecederaan patah di bahagian kaki dan bahu.
“Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah dengan memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa daripada tangki itu menggunakan ‘rope resque’ dan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Baca juga: