Pekerja kosmetik dipukau, barang kemas dibawa lari

Oleh: Syahirah Harish

KUANTAN: Seorang pekerja di sebuah kedai kosmetik di Jaya Gading, di sini menjadi mangsa jenayah apabila disyaki dipukau oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pelanggan.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, kejadian itu mengakibatkan pekerja tersebut menyerahkan barang kemas termasuk gelang, rantai dan cincin emas kepada suspek.

Suspek dilaporkan berpura-pura sebagai pembeli sebelum memperdaya pekerja untuk memberikan barang berharga tanpa disedari.

Menurut info di media sosial, suspek dikatakan ingin membeli minyak wangi dalam kuantiti yang banyak dan mengeluarkan RM3,000 kepada pekerja itu seakan ingin menunjuk bahawa dia adalah pembeli yang serius.

Dalam rakaman CCTV, pekerja itu dilihat akur membiarkan gelangnya dicabut dan rantai emasnya diambil dari lehernya tanpa sebarang bantahan.

Selepas memperoleh barang-barang tersebut, suspek memaklumkan ingin ke bank untuk mengeluarkan wang tetapi tidak kembali.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan keselamatan diri dan kesedaran terhadap jenayah seperti pukau.

Setakat ini, Malaysia Bangkit masih lagi menunggu laporan daripada pihak berkuasa terhadap kejadian ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat