PETALING JAYA: ZUS Coffee menegaskan komitmennya terhadap kebajikan pekerja dan keselamatan pelanggan susulan insiden yang berlaku di salah satu cawangannya pada 9 November lalu, melibatkan seorang kakitangan syarikat.
Dalam kenyataan rasmi pada Rabu, syarikat itu memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat bagi melindungi privasi dan keselamatan individu terlibat.
“Zurista yang terlibat kekal bersama kami dan kini sedang mengambil cuti bergaji untuk pulih daripada insiden tersebut.
“Kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.
ZUS Coffee turut memberi jaminan bahawa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk memperkukuh latihan dan sistem sokongan dalaman agar setiap kakitangan dapat menangani cabaran dengan profesionalisme dan empati.
“Kami sedar bahawa pelanggan hadir dengan jangkaan berbeza.
“Insiden ini menjadi peluang untuk kami memperkukuh budaya kerja yang lebih berdaya tahan dan berempati,” jelas syarikat itu.
Dalam masa yang sama, ZUS Coffee menyeru komuniti dalam talian agar tidak menyebarkan atau berkongsi semula kandungan yang boleh mendedahkan identiti individu terlibat, demi menjaga kesejahteraan mental mereka.
Syarikat itu turut menegaskan pendiriannya untuk tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk tingkah laku agresif dan berikrar untuk memastikan setiap premis kekal sebagai ruang selamat buat pelanggan dan pekerja.
Terdahulu, sebuah video menunjukkan interaksi tegang antara pekerja dan pelanggan di salah satu cawangan ZUS Coffee tular di media sosial.
Susulan itu, syarikat tampil menjelaskan situasi sebenar dan memberi jaminan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan secara telus dan adil.








