Pelabur Asing Kekal Yakin Terhadap Malaysia – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Pelabur asing yang telah menanam modal di Malaysia terus menunjukkan komitmen mereka tanpa sebarang tanda untuk berundur, meskipun landskap ekonomi global semakin mencabar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keyakinan pelabur terhadap ekosistem pelaburan negara kekal kukuh.

“Setakat ini, tiada pelabur sedia ada menyatakan hasrat untuk keluar dari Malaysia.

“Mereka (pelabur) masih komited dan tiada pembatalan pelaburan diumumkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sosialisasi Serantau Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2045 di MITI, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pelabur baharu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berikutan ketegangan geopolitik global yang semakin meruncing.

“Keadaan geopolitik yang semakin kompleks menyebabkan pelabur baharu mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

“Mereka mempertimbangkan banyak faktor sebelum membuat keputusan, termasuk hubungan antara Amerika Syarikat dan China,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion pada suku pertama tahun ini, di mana peningkatan 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM60.4 bilion atau 67.3 peratus adalah pelaburan asing, sementara RM29.4 bilion atau 32.7 peratus merupakan pelaburan domestik.

“Biasanya, prestasi pelaburan pada suku pertama agak perlahan kerana keputusan pelaburan selalunya dibuat pada hujung tahun.

“Namun kali ini, pencapaian sangat memberangsangkan, terutama dengan sektor perkhidmatan dan ekonomi digital menjadi penyumbang utama,” kata Tengku Zafrul.

Tambah beliau, prestasi pelaburan Malaysia sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

Anda Mungkin Berminat