Oleh: Aliyaa Azmi
PARLIMEN | Sektor kecerdasan buatan (AI) negara terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila pelaburan diluluskan bagi separuh pertama tahun ini mencecah RM3.29 bilion.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, pelaburan tersebut berpotensi mewujudkan sebanyak 6,920 peluang pekerjaan di bawah inisiatif Malaysia Digital.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan kemajuan Pejabat AI Nasional (NAIO) dalam membangunkan ekosistem AI negara secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju teknologi digital serantau.
“Sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap digital serantau, Sidang Kemuncak Digital ASEAN 2025 juga akan diadakan dari 11 hingga 13 Ogos,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) di Dewan Rakyat berhubung pencapaian NAIO setakat ini.
Gobind turut memaklumkan bahawa kajian impak AI terhadap sektor awam kini berada di fasa akhir yang melibatkan 28 kementerian dengan sebanyak 55 kes penggunaan telah dikenal pasti.
Katanya, antara aplikasi yang sedang dibangunkan termasuk sistem ramalan trafik berkuasa AI, pengurusan pelabuhan pintar, radiologi dan pengurusan sumber hospital, pendigitalan rekod perubatan serta ramalan penawaran dan permintaan dalam sektor pertanian.
Gobind berkata, turut tersenarai ialah sistem pengesanan perosak, program peningkatan kemahiran tenaga kerja bersama Kementerian Sumber Manusia dan inisiatif ‘AI di Tempat Kerja’ yang bertujuan mempertingkatkan kecekapan operasi sektor awam.
“Langkah ini penting bagi merealisasikan transformasi negara dari segi sosial, ekonomi dan tadbir urus,” katanya.








