Pelaburan besar kadang kala makan tahun juga

Oleh: Amin Ahmad

ULASAN | Memang dari tahun ke tahun pelaburan melalui pelbagai proses. Sekurang-kurangnya ada dua pihak terlibat iaitu pelabur dan penerima pelaburan. 

Pelabur sudah tentu mahu menjana kekayaan. Pelaburannya boleh jadi kecil, sederhana dan besar. Boleh jadi singkat, sederhana dan panjang. 

Untuk menentukan mereka mampu menjana kekayaan, pelaburan dibuat dengan usaha wajar (due diligence) tertentu. Di sini pelaburan masih bersifat potensi. Kerajaan mengukur potensi pelaburan berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam kertas cadangan (proposal) diterima. 

Kecekapan usaha wajar juga pelbagai. Ia meliputi soal kos, sumber manusia, kecekapan teknologi, pengangkutan dan logistik, kemudahan sistem kewangan, birokrasi, cukai, undang-undang berkaitan, ROI dan pelbagai lagi. Dunia hari ini membangun Indeks Kemudahan Berniaga (Ease of Doing Business Index) untuk mengukurnya. Malaysia antara negara terbaik di dunia. 

Ingat! Asas pasaran yang baik ialah kemudahan pergerakan manusia, modal, barang dan perkhidmatan. Semakin mudah pergerakannya, maka semakin lancar pergerakan ekonomi. 

Sebanyak mana pun usaha wajar, ada perkara-perkara di luar kawalan misalnya perang, bencana dan sebagainya. Ia adalah sebahagian risiko. Bukan semua perkara sama macam 1+1=2. 

Sebagai negara penerima pelaburan, kita tentunya menggalakkan potensi pelaburan direalisasikan. Oleh itu, kita membuka pintu rundingan di pelbagai peringkat sama ada G to G (kerajaan dengan kerajaan) atau melalui pelbagai agensi. Apabila pelaburan diluluskan (approved investment), barulah ia dikira sebagai pelaburan sebenar. 

Pelaburan tidak terus masuk semudahnya terutama yang besar-besar. Ia melalui proses rundingan dan tapisan sesuai dengan risiko pelaburan. Kadangkala makan tahun untuk merealisasikan sesuatu pelaburan. 

Potensi pelaburan menjadi petunjuk minat pelabur masuk ke negara kita. Ia sekaligus menggambarkan secara agregat petunjuk-petunjuk pelbagai yang menarik. 

Pada masa yang sama kerajaan juga ‘mengawal’ jenis pelaburan masuk melalui pelbagai tapisan teknikal dari segi kesesuaian, keperluan negara, kemampuan menampung, akaun pelabur dan sumber kewangan, kelestarian, sumber manusia, imbangan dagangan (trade balance) dan pelbagai lagi. 

Dalam tulisan ini ada sejumlah kata kunci yang perlu difahami terutama oleh orang politik yang berhasrat menjadi pemimpin negara. Supaya kita tahu apa tugas dan peranan. 

Kerana politik itu bukan hanya kerja menaik atau menjatuhkan sesiapa. Apakah yang hendak kita bawa bersama kuasa sementara di dunia ini dan bagaimana kita boleh mereformasikan apa yang kita rasa masih kurang baik atau berpotensi lebih baik daripada amalan dan dasar semasa.

***Penulis adalah Pengerusi PKR Perlis

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat