PETALING JAYA: ‘Biar miskin harta, jangan miskin ilmu’, pesanan ringkas namun sarat makna itu menjadi pegangan hidup seorang anak tunggal bernama Sharvin, yang membesar dalam pelukan kasih seorang ibu tunggal tanpa kehadiran seorang ayah disisi.
Ibunya bekerja siang dan malam, dari pejabat di Shah Alam hingga ke hotel pada waktu malam semata-mata untuk memastikan anaknya tidak kelaparan.
Walaupun jatuh sakit, wanita tabah itu tidak pernah mengeluh, malah sanggup berkorban demi melihat anaknya berjaya.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sharvin mengambil tanggungjawab membantu ibunya dengan bekerja sambilan di kedai serbaneka dengan menerima bayaran RM7 sejam.
Setiap sen disimpan untuk membeli keperluan asas dan menambah kelangsungan hidup mereka berdua.
Namun semangat ibu itu tidak pernah padam, atas dorongan untuk menuntut ilmu akhirnya membuahkan hasil apabila Sharvin berjaya memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan melanjutkan pelajaran ke universiti.
Minat mendalam terhadap bidang semikonduktor mendorong Sharvin menyertai program ‘upskilling’ selama empat bulan di bawah inisiatif Asia-Europe Meeting (ASEM) anjuran Sidec.
Program itu menyediakan latihan kemahiran praktikal dan kepimpinan daripada syarikat antarabangsa bagi melahirkan graduan berdaya saing.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, program tersebut bukan sekadar memberi latihan, malah membuka peluang pekerjaan dengan gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada peserta berbakat seperti Sharvin.
“Kisah Sharvin bukti bahawa pelaburan dalam ilmu mampu mengubah nasib keluarga.
“Inilah semangat Malaysia MADANI dengan memberi peluang kepada semua tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menjelang sambutan Deepavali, Sharvin akhirnya dapat menunaikan janji kepada ibunya bahawa suatu hari nanti, beliau akan membalas segala pengorbanan wanita itu.
“Amma, ‘I made it’. Sekarang giliran saya pula untuk jaga Amma,” katanya penuh sebak, tanda kasih yang tidak terbalas antara ibu dan anak.








