Pelaburan PNB RM1.1 bilion ke atas Sapura Energy bukan ‘bailout’

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Ahmd Fahmi Mohamed Fadzil mengumumkan bahawa pelaburan RM1.1 bilion oleh syarikat berkaitan Permodalan Nasional Berhad (PNB) ke atas Sapura Energy Berhad adalah langkah pelaburan strategik yang membawa harapan baru bagi industri minyak dan gas negara.

Menurut beliau, pelaburan itu dalam bentuk ‘redeemable convertible share’ dan bukanlah satu langkah ‘bailout’.

Fahmi menjelaskan, pelaburan tersebut dilakukan dengan syarat khusus yang mesti dipenuhi oleh Sapura Energy.

“Kita tidak melihat pelaburan ini sebagai ‘bailout’ kerana ia datang dengan syarat khusus.

“Daripada jumlah RM1.1 bilion yang dilaburkan PNB, ia berbentuk ‘redeemable convertible share’ yang boleh ditebus, diubah suai atau ditukar menjadi pegangan saham,” katanya pada Rabu.

Tambah beliau, pelaburan itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet dan kerajaan menolak dakwaan bahawa ia bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan Sapura Energy.

Fahmi menekankan bahawa pelaburan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada Sapura Energy tetapi juga kepada pemegang saham PNB serta vendor dalam sektor minyak dan gas.

“PNB berhasrat mencipta nilai dan menjana keuntungan yang akhirnya akan dipulangkan kepada pendeposit melalui pelbagai instrumen seperti simpanan dan amanah saham.

“Salah satu syarat utama pelaburan ini adalah memastikan dana digunakan untuk menyelesaikan tunggakan pembayaran kepada lebih 2,000 vendor, di mana 80 peratus daripadanya adalah bumiputera,” tambah beliau.

Fahmi juga menyoroti perubahan dalam kepimpinan dan pengurusan Sapura Energy yang menunjukkan langkah positif ke arah pemulihan syarikat.

“Dari sudut strategi, peranan Sapura Energy dalam industri minyak dan gas amat penting.

“Jika syarikat ini gagal, adakah kita bersedia untuk bergantung kepada vendor luar? Ini antara pertimbangan utama kerajaan,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Sapura Energy menerima pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat tersebut memaklumkan bahawa perjanjian pembiayaan bersyarat telah dimeterai dengan MDH, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

Anda Mungkin Berminat