Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Keputusan syarikat tenaga global, Shell, untuk menambah pelaburan melebihi RM9 bilion di Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang mencerminkan keyakinan kukuh pelabur asing terhadap kekuatan ekonomi negara terutamanya dalam sektor strategik seperti minyak dan gas.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan itu menyerlahkan daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), selain mengukuhkan peranan industri minyak dan gas sebagai tunjang ekonomi negara.
“Shell telah lama bertapak di negara ini lebih 130 tahun dan memiliki pengetahuan mendalam mengenai industri ini di Malaysia.
“Mereka (Shell) tahu kekuatan kita, terutama daripada segi kestabilan, kecekapan operasi dan tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau berkata, kepercayaan Shell juga mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran rakyat tempatan yang telah lama menjadi tulang belakang kepada operasi syarikat-syarikat tenaga bertaraf antarabangsa.
“Kepakaran anak tempatan dalam sektor minyak dan gas memang sudah terbukti.
“Ramai rakyat Malaysia bekerja di pelbagai syarikat minyak dan gas multinasional (MNC) di peringkat global,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaburan baharu itu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pekerjaan bergaji tinggi.
“Peluang pekerjaan ini tidak terhad kepada akademik semata-mata malah turut melibatkan kemahiran teknikal seperti TVET.
“Contohnya, pekerjaan seperti jurukimpal berkemahiran tinggi mampu menerima gaji lumayan,” jelasnya.
Dr Aimi turut berkata, perkembangan sektor tenaga boleh baharu turut memainkan peranan penting dalam menarik minat syarikat antarabangsa untuk terus melabur di negara ini.
“Industri tenaga boleh baharu sedang berkembang dengan sangat baik dan menarik pelabur dari seluruh dunia.
“Ini membuktikan Malaysia kekal relevan sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.