SEPANGGAR: Lima pelajar lepasan sekolah dari kawasan luar bandar Sepanggar, Sabah menerima kejutan istimewa apabila surat tawaran kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disampaikan terus ke rumah mereka oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bertujuan mempermudah akses pelajar luar bandar ke pendidikan tinggi, di samping menghargai pengorbanan ibu bapa dalam membentuk masa depan anak-anak.
“Saya mahu anak Sabah bangkit, belajar bersungguh-sungguh dan kembali sebagai aset negara.
“Ini bukan sekadar serah surat tapi mesej bahawa kerajaan bersama mereka,” kata beliau.
Antara penerima ialah Sarif Adam Abdullah, 18, dari Skim Penempatan Nelayan Menggatal, yang ditawarkan tempat di Politeknik Port Dickson dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Kecekapan Tenaga).
“Emak tak kerja, ayah kerja sendiri. Tapi kami redha dan bersyukur dia dapat peluang ni,” kata ibunya.
Turut menerima tawaran ialah Mohamad Iqram Hakimi Mohd, yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka.
“Minat saya dalam bidang ini kuat. Saya mahu buktikan anak Sabah juga mampu bersaing,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Faiz Alfie, ditawarkan mengikuti Sijil Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Beaufort.
“Yang penting bukan di mana kita bermula, tetapi di mana kita berakhir,” kata Mustapha, sambil berkongsi kisah kejayaan pelajar politeknik yang kini menimba ilmu di Jerman.