Pelajar Malaysia di Harvard Selamat, KPT Pantau Rapat Isu SEVP

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan bahawa pelajar Malaysia di Universiti Harvard tidak terjejas oleh keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menarik balik pensijilan Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) universiti tersebut.

Dalam kenyataan pada Ahad, KPT memaklumkan bahawa 54 pelajar Malaysia di Harvard yang terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar persendirian kini berada dalam pemantauan Pejabat Education Malaysia Washington D.C (EMWDC) bagi memastikan kebajikan mereka terus terjaga.

Menurut KPT, keputusan pentadbiran AS pada 22 Mei 2025 pada awalnya mencetuskan kebimbangan kerana ia melarang Harvard daripada mendaftarkan pelajar antarabangsa baharu serta menekan pelajar sedia ada untuk berpindah bagi mengekalkan status visa mereka.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan terkini menunjukkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) yang difailkan oleh Harvard, memberikan kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa termasuk pelajar Malaysia.

“Keputusan ini memberikan jaminan bahawa pelajar antarabangsa termasuk pelajar Malaysia, boleh meneruskan pengajian mereka tanpa gangguan kepada status visa buat masa ini,” menurut KPT.

KPT dan EMWDC juga telah mengadakan komunikasi dengan pihak penaja dan berkuasa pendidikan AS bagi memastikan kebajikan pelajar Malaysia terus dipelihara.

“Kementerian menyambut baik komitmen mereka untuk bekerjasama dalam memastikan kebajikan pelajar Malaysia sentiasa terjaga,” ujar KPT.

Pada masa yang sama, KPT mengingatkan semua pelajar agar terus mengemas kini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) serta berhati-hati dalam urusan imigresen.

Katanya lagi, bagi pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Harvard pada September 2025, KPT menyarankan agar mereka berhubung secara langsung dengan pihak universiti dan penaja masing-masing sebelum membuat keputusan lanjut.

“Malaysia percaya bahawa pendidikan tinggi merentas sempadan adalah landasan penting kepada pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara,” tambah kenyataan itu.

KPT turut menyeru agar semua pihak bertindak berdasarkan maklumat sahih dan memberi keutamaan kepada kepentingan pelajar dalam menghadapi isu ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Universiti Harvard telah memfailkan saman terhadap langkah kerajaan AS di Mahkamah Daerah Massachusetts hanya beberapa jam sebelum keputusan mahkamah diumumkan.

“Keputusan ini yang diambil oleh pentadbiran semasa di AS, pada asalnya menghalang Universiti Harvard daripada mendaftarkan pelajar antarabangsa baharu dan turut memberi tekanan kepada pelajar antarabangsa sedia ada untuk berpindah ke institusi lain bagi mengekalkan status visa mereka,” menurut Harvard.

Hakim Allison D. Burroughs kemudiannya mengeluarkan perintah injuksi sementara yang menghalang kerajaan AS daripada melarang Harvard menerima pelajar antarabangsa.

Universiti Harvard dalam tuntutannya turut menuduh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump cuba memberi tekanan ke atas institusi itu menerusi tindakan balas yang didakwa tidak sah.

Anda Mungkin Berminat