Pelajar Tingkatan Lima Didakwa Bunuh Ibu, Abang dan Cederakan Adik di Melaka

MELAKA: Seorang pelajar Tingkatan Lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan – dua daripadanya berkaitan pembunuhan ibu dan abang kandungnya, serta satu pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas adik bongsunya menggunakan pisau lipat minggu lalu.

Prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, dengan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mengetuai pihak pendakwaan. Tertuduh yang berusia 17 tahun diwakili oleh peguam Cassian Anthony, Francis Augustine Sosay dan E Lee Thian.

Bagi dua pertuduhan pertama, remaja tersebut didakwa menyebabkan kematian ibunya yang berusia 51 tahun dan abang berumur 21 tahun, di sebuah rumah di Jalan RM 3, Taman Rambai Mutiara, antara jam 5 hingga 5.30 pagi pada 12 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula melibatkan dakwaan mencederakan adik lelaki berusia 13 tahun menggunakan pisau lipat pada tarikh, masa dan lokasi yang sama. Kes ini didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat.

Menurut peguam Cassian Anthony yang ditemui di luar mahkamah, tertuduh yang hadir dalam pakaian lokap memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin dan tidak mengaku bersalah. Namun begitu, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

“Kami turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guam kami dipercayai mengalami masalah mental. Pihak kami sedang meneliti kemungkinan untuk memohon pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, yang akan dipertimbangkan semula menjelang sebutan akan datang,” katanya.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes, bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan mendapatkan laporan DNA dan hasil bedah siasat mangsa.

Tiada ahli keluarga tertuduh hadir sepanjang prosiding tersebut.

Terdahulu, media melaporkan penahanan seorang remaja lelaki selepas penemuan mayat ibunya, seorang guru, serta abangnya, kedua-duanya berlumuran darah dan mengalami kesan tikaman.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak akibat tekanan emosi, dikatakan berpunca daripada desakan untuk belajar dan mencapai keputusan cemerlang.

Dalam kejadian itu, suspek turut menikam adik bongsunya hingga parah, dan polis merampas senjata yang digunakan – pisau lipat sepanjang kira-kira 20 sentimeter yang disembunyikan dalam beg sekolahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat