PETALING JAYA: Pelajar Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA kini berpeluang memperluas pengalaman akademik serta latihan industri ke Australia, hasil pertemuan delegasi MARA dengan Menteri Kemahiran dan Latihan, Hon. Andrew Giles serta Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Hon. Julian Hill, baru-baru ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertemuan itu membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kerjasama strategik antara MARA dan kerajaan Australia khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, TVET, mobiliti pelajar serta pembangunan bakat masa depan.
“Hasil perbincangan ini, pelajar TVET MARA berpeluang menyertai program berkembar seperti 2+2 atau 3+1, iaitu memulakan pengajian di institusi tempatan sebelum menyambung ke universiti atau TAFE di Australia.
“Ini pendekatan kos efektif yang memberi pengalaman antarabangsa lebih luas kepada pelajar tajaan MARA,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam konteks TVET, MARA turut mencadangkan pembinaan laluan artikulasi yang jelas antara sijil dan diploma TVET Malaysia dengan kelayakan TAFE Australia.
Antara yang dibincangkan termasuk peluang visa jangka pendek antara tiga hingga 12 bulan bagi latihan industri dan pendedahan kemahiran di negara itu.
“Kita mahu graduan TVET bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga mempunyai nilai tambah global dan kefahaman terhadap ekosistem industri negara maju,” katanya.
Kerjasama itu dijangka memperluas mobiliti pelajar, membolehkan mereka menimba pengalaman praktikal dalam industri berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Kami percaya langkah ini dapat meningkatkan kualiti pendidikan TVET di Malaysia dan membolehkan pelajar kita bersaing secara lebih profesional di arena global,” katanya lagi.
Selain itu Dr Asyraf berkata, usaha itu sejajar dengan agenda kerajaan memperkukuh TVET sebagai asas pembangunan ekonomi dan modal insan negara.
“InsyaAllah, dengan kerjasama ini, kita dapat meneruskan lembaran baharu MARA-Australia untuk mengangkat martabat TVET, memastikan anak-anak MARA berkemampuan bersaing di peringkat antarabangsa, dan membuka lebih banyak peluang untuk mereka,” katanya.








