Pelajar UMS luah masalah air kepada Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerima sambutan unik daripada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah yang menunjukkan kadbod yang meluahkan masalah bekalan air yang dihadapi di kampus tersebut.

Dalam lawatan kerjaya pertama Zambry ke institut tersebut, beliau mendapati kebanyakan pelajar yang hadir menyambutnya memberitahu tentang cabaran mereka yang sedang belajar sambil menanggung masalah bekalan air.

Kumpulan pelajar tersebut juga menyanyikan lagu permohonan maaf kepada Zambry kerana kebanyakan daripada mereka tidak dapat mandi ketika menyambut rombongannya.

Masalah air ini dikatakan berpunca daripada isu tekanan air rendah dan sistem telaga paip yang bermasalah hingga mengakibatkan gangguan bekalan air buat para pelajar di sana.

Turut hadir di UMS, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud dan Naib Canselor UMS, Datuk Kasim Mansor.

Memetik laporan Berita Harian mengkhabarkan bahawa Jabatan Air Negeri telah menghantar bekalan air menerusi lori tangki ke kampus tersebut tetapi masih tidak mencukupi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS pada tahun lalu untuk menyelesaikan isu air di kampus itu.

Dalam pada itu, Zambry turut mengumumkan penambahan dana RM2 juta untuk penyelesaian jangka masa pendek untuk gangguan bekalan air tersebut.

Seorang pelajar yang menyertai sambutan tersebut berharap agar pelajar dapat mengetahui maklumat jelas mengenai pembahagian wang yang diperuntukkan untuk kemajuan projek setakat ini.

“Bagi pihak pelajar, kami juga ingin yuran penginapan kami dikurangkan kerana gangguan bekalan air ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat