Pelajar universiti swasta parah dikelar teman lelaki

SUBANG JAYA: Seorang pelajar wanita warga asing berusia 20 tahun cedera parah selepas lehernya dikelar dalam kejadian di sebuah universiti swasta di sini, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.30 petang melibatkan suspek lelaki berusia 21 tahun yang juga bekas teman lelaki mangsa.

“Suspek telah ditahan sejurus selepas kejadian. Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kiri leher akibat kelar pisau,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Zon Merah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat