PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkongsi kisah menyentuh hati seorang pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, yang kehilangan kedua ibu bapanya namun tetap hadir mendaftar di universiti berkenaan.
Menurut Zambry, pihak universiti segera menjejaki pelajar itu selepas mendapat maklumat mengenai keadaannya dan membantu dalam segala urusan pendaftaran.
“Dalam usianya yang masih muda, beliau telah kehilangan kedua-dua ibu bapa, namun tetap berusaha sedaya upaya untuk hadir mendaftar sebagai mahasiswa baharu di UUM,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.
Jelasnya, melalui Program SULUNG, semua yuran pengajian Putera akan ditanggung sepenuhnya sehingga tamat pengajian selain menerima kemudahan lain seperti komputer riba dan wang saku bulanan.
Beliau turut menitipkan pesanan agar pelajar berkenaan terus bersemangat, belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan berjaya pada masa hadapan.
“Kepada semua pelajar lain, sekiranya menghadapi kesulitan, rujuklah kepada pihak universiti atau terus kepada KPT. Kita akan permudahkan. Yang penting, belajar dengan tekun dan apabila berjaya kelak, kembalilah menyumbang kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor dan pihak pengurusan UUM yang disifatkan sentiasa komited dalam membantu pelajar.
Baca juga:








