Pelakon Along Eyzendy Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pelakon Along Eyzendy atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, yang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada pukul 12.16 pagi, Ahad.

Khabar duka itu disahkan oleh isterinya, Hamidah Mohd Yatim, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di sisi ahli keluarga tercinta.

Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke ICU pada Khamis lalu akibat pendarahan serius dalam perut.

Beliau sebelum itu mengalami demam dan batuk berpanjangan serta disyaki jangkitan pada ‘stent’ di saluran hempedu.

Dilahirkan di Ipoh, Perak, Along memulakan kerjaya sebagai peniup trumpet sebelum menceburi bidang lakonan pada tahun 2003.

Sepanjang lebih dua dekad bergiat dalam dunia seni, beliau pernah membintangi filem terkenal seperti Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dan Mat Moto.

Selain itu, Allahyarham turut aktif dalam drama televisyen termasuk Bini-Bini Perkasa, Keranamu Laila, Sanggul Beracun dan banyak lagi.

Pemergian Along Eyzendy meninggalkan seorang balu, Hamidah Mohd Yatim serta tiga orang anak.

Kehilangan beliau pastinya dirasai oleh keluarga, sahabat, dan seluruh peminat seni tanah air.

Anda Mungkin Berminat