PETALING JAYA: Dunia seni tanah air kehilangan seorang insan berbakat apabila Shahrol Asikin, atau lebih dikenali sebagai Daddy Rock, dilaporkan telah kembali ke rahmatullah.
Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, sahabat serta para peminat yang mengenali keperibadian dan sumbangannya dalam bidang seni.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, dalam satu hantaran di Facebook, menyampaikan rasa kehilangan serta ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Dengan dukacita saya menerima khabar bahawa saudara Shahrol Asikin atau lebih dikenali sebagai Daddy Rock telah kembali ke rahmatullah.
“Saya mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
“Pemergian beliau pastinya dirasai oleh mereka yang mengenalinya, bahwa beliau merupakan seorang yang baik budi pekertinya.
“Hanya beberapa ketika lalu, saya berkesempatan menziarahi Allahyarham di Kampung Nakhoda bagi menyampaikan salam dan sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semoga Allah SWT mencucuri ke atas rohnya Allahyarham, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya.
Untuk info, Shahrol Asikin, yang lebih dikenali dengan nama pentas Daddy Rock, merupakan antara figura seni yang dekat dengan masyarakat khususnya dalam komuniti muzik dan hiburan.
Beliau dikenali bukan sahaja kerana bakatnya tetapi juga kerana sifat rendah diri dan keperibadian yang disenangi ramai.
Kehadiran beliau dalam dunia seni sering membawa mesej positif dan menghiburkan, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar buat industri hiburan tempatan.








