Pelakon Korea, Lee Seo Yi Meninggal Dunia

SEOUL: Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan pemergian pelakon prolifik Lee Seo Yi, atau nama sebenarnya Song Soo Yeon, yang disahkan meninggal dunia pada 20 Jun lalu pada usia 43 tahun.

Berita itu hanya diumumkan pada 1 Julai oleh pengurusnya, Song Seo Bin di media sosial.

“Saya ingin mengumumkan berita yang sangat menyedihkan dan menyayat hati.

“Pelakon Lee Seo Yi (nama sebenar Song Soo Yeon) telah meninggal dunia pada 20 Jun lalu,” ujarnya.

Lee Seo Yi mula menapak dalam industri seni menerusi drama sejarah popular Hur Jun, The Original Story (2013), sebelum mencuri tumpuan dalam Cheongdam-dong Scandal (2014).

Kehebatannya dalam membawa watak turut menyerlah dalam filem seperti The King, Killing Romance dan Madame Bbaeckdeok, membuktikan versatilitinya di layar perak.

Menambah lagi rasa kehilangan, mendiang baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama tvN The Divorce Insurance pada Mei lalu dan merupakan satu pencapaian terakhir yang menjadi simbol dedikasi beliau terhadap dunia lakonan.

Mendiang merupakan seorang graduan Pengajian Czech dan Slovak dari Hankuk University of Foreign Studies, Lee Seo Yi turut dikenali sebagai figura berilmu yang rendah hati.

Punca kematian tidak didedahkan, namun ruang penghormatan telah dibuka kepada peminat dan rakan seperjuangan yang ingin memberi penghormatan terakhir.

Anda Mungkin Berminat