Pelakon Lee Sang-Bo Meninggal Dunia Pada Usia 43 Tahun

SEOUL: Industri hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan berita pemergian pelakon terkenal, Lee Sang-bo, yang ditemui meninggal dunia pada usia 43 tahun.

Pihak berkuasa Korea kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian selepas menerima laporan daripada ahli keluarganya.

Syarikat agensi Sang-bo dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha mendapatkan pengesahan lanjut berhubung insiden tersebut.

Difahamkan, sejurus berita kematiannya tersebar, hantaran serta profil di akaun media sosial milik Sang-bo didapati telah dipadam, sekali gus menambahkan rasa pilu dalam kalangan peminat.

Tindakan itu dilihat seolah-olah beliau menghapuskan semua jejaknya di dunia maya, memperdalam kesedihan yang dirasai ramai.

Lee Sang-bo memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2006 menerusi drama Transparent Human: Chang Jang-su dan terus aktif membintangi pelbagai karya selepas itu.

Namun, pada tahun 2022, beliau berdepan dakwaan penggunaan dadah susulan pengambilan ubat bagi rawatan kemurungan.

Kes tersebut akhirnya digugurkan selepas ujian terperinci oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan menunjukkan keputusan negatif.

Walau bagaimanapun, Sang-bo tetap meluahkan rasa kecewa terhadap insiden itu.

Ketika itu, beliau berkongsi di media sosial bahawa pengambilan alkohol akibat tidak mampu mengawal emosi meskipun menjalani rawatan jangka panjang menjadi punca kepada kejadian berkenaan.

Beliau turut menyatakan tekad untuk bangkit semula dengan sokongan orang ramai, menjadikan berita pemergiannya kali ini lebih memilukan buat para peminat dan rakan industri.

Anda Mungkin Berminat