Seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila terdapat pihak yang meletakkan gambar dan maklumat peribadi miliknya pada poster ditampal dalam lif.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, selain terdapat gambar dan butiran pengadu, terdapat juga gambar jiran pengadu dengan kata-kata amaran supaya melepaskan jawatan dalam masa tiga hari.
“Hasil siasatan mendapati, pengadu memegang jawatan sebagai bendahari, dan jirannya yang merupakan seorang pelakon memegang jawatan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Selangor.
“Siasatan lanjut juga mendapati pengadu serta AJK lain baru mengambil alih jawatan tersebut dari pengurusan JMB yang terdahulu sejak 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan agar orang awam tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan apa-apa maklumat di mana-man platform bagi mengelakkan spekulasi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 yang mana membawa hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda dan kedua-dua sekali.
Sekiranya disabitkan bersalah bagi kesalahan AKMM, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Baca juga: