Pelakon Romeo dan Juliet, Olivia Hussey meninggal dunia

PELAKON Olivia Hussey yang meraih populariti antarabangsa sebagai remaja menerusi peranannya dalam filem Romeo and Juliet pada tahun 1968 telah meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Pelakon kelahiran Argentina yang dibesarkan di London itu meninggal dunia pada hari Jumaat di samping orang tersayang, menurut kenyataan yang dimuat naik di Instagramnya.

Memetik laporan BBC News, Hussey memenangi Anugerah Golden Globe untuk Pelakon Baru Terbaik bagi peranannya sebagai Juliet, namun beberapa dekad kemudian beliau menyaman Paramount Pictures atas dakwaan penderaan seksual kerana beliau baru berusia 15 tahun ketika merakamkan adegan bogel dalam filem tersebut.

Peranan lain yang paling dikenali oleh Hussey adalah sebagai Mary, ibu kepada Jesus, dalam siri mini TV Jesus of Nazareth pada tahun 1977.

Hussey dilahirkan di Buenos Aires, Argentina, pada tahun 1951, sebelum berpindah ke London pada usia tujuh tahun dan belajar di sekolah drama Italia Conti Academy.

Beliau ditemui oleh pengarah Romeo and Juliet, Franco Zeffirelli, ketika berusia 15 tahun, semasa berlakon bersama Vanessa Redgrave dalam pementasan The Prime of Miss Joan Brodie.

Zeffirelli mencari seseorang yang cukup muda untuk menjadi Juliet yang meyakinkan dalam versi sinematik Shakespeare yang beliau anggap sebagai definitif.

Beliau memilih Hussey bersama pelakon British berusia 16 tahun, Leonard Whiting, sebagai Romeo dalam filem tersebut.

Filem itu dicalonkan untuk Anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Walaupun Hussey tidak dicalonkan untuk Oscar, beliau memenangi Anugerah Golden Globe untuk Bintang Baru Terbaik pada tahun tersebut.

“Kami meratapi kehilangan besar ini, tetapi juga meraikan kesan abadi Olivia dalam hidup kami dan industri ini,” kata kenyataan tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat