PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan langkah memperkemas pelaksanaan sistem e-Invois dengan menaikkan ambang kewajipan kepada RM1 juta setahun.
Keputusan itu dibuat sebagai respons terhadap maklum balas daripada peniaga kecil dan sederhana yang menyuarakan kebimbangan mengenai kos pematuhan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keputusan tersebut diambil selepas kerajaan mendengar keluhan pemain industri yang merasakan kos pelaksanaan sistem tidak sepadan dengan hasil perniagaan kecil.
“Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar keluhan pemain industri mengenai kos pelaksanaan sistem yang dianggap tidak setimpal dengan hasil perniagaan kecil,” katanya memetika wawancara bersama Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, pelaksanaan e-Invois bukan sekadar langkah teknikal tetapi sebahagian daripada usaha memperkukuh tata kelola fiskal negara, mengurangkan ketirisan, serta memastikan pematuhan cukai dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, kerajaan memilih untuk memperkukuh mekanisme sedia ada seperti SST dan e-Invois secara berperingkat, berbanding memperkenalkan sistem percukaian baharu yang berisiko menambah beban rakyat dalam keadaan gaji masih rendah.
Muhammad Kamil turut menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan MADANI adalah mengekalkan keseimbangan antara keperluan fiskal negara dan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Pendekatan Kerajaan MADANI adalah mengekalkan keseimbangan antara keperluan fiskal negara dan kemudahan menjalankan perniagaan, selaras dengan prinsip keadilan dan keterangkuman ekonomi,” katanya.








