Pelaksanaan Putrajaya Sihat Sejahtera dikemuka dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ANMS

Cadangan pelaksanaan Putrajaya Sihat Sejahtera di bawah Inisiatif Nasional Malaysia Sihat (ANMS) menjelang 2030 telah dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ANMS Bil 1/2024 pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet ANMS berkata, tertarik dengan statistik kadar obesiti, kurang melakukan aktiviti fizikal dan paras kolesterol dalam darah bagi penduduk di Putrajaya, melebihi kadar populasi nasional.

“Antara objektif pelaksanaan program yang memfokuskan kepada penjawat awam itu ialah meningkatkan literasi kesihatan, meningkatkan penglibatan penjawat awam dalam aktiviti pembudayaan hidup sihat termasuk saringan kesihatan dan meningkatkan amalan kebersihan persekitaran. 

“Program yang dicadangkan untuk tempoh enam tahun bermula tahun ini akan diadakan di tempat kerja penjawat awam sama ada di kementerian, jabatan atau agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, ANMS merangkumi aspek tingkah budaya hidup sihat antaranya hidup aktif, persekitaran yang menyokong, pemakanan sihat dan minda sihat, manakala strategi pula melibatkan literasi kesihatan, intervensi kesihatan dan pengiktirafan.

“Saya berharap agar ANMS berupaya membentuk rakyat negara ini dalam membudayakan cara hidup sihat, sebagai benteng utama bagi mencegah pelbagai penyakit, seterusnya mengekalkan kesejahteraan kesihatan sesuai dengan hasrat kerajaan yang terkandung dalam Konsep Malaysia MADANI,” katanya.

Terdahulu, ANMS dilancarkan pada 11 Nov, 2022, berteraskan kepada empat objektif iaitu mempromosi pembudayaan hidup sihat untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan; menyediakan persekitaran menyokong kesejahteraan kesihatan; memperkasakan individu dan komuniti dalam kawalan kesihatan kendiri; serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk mencapai kesejahteraan kesihatan.

Turut hadir bersama barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia ialah YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), YBhg. Datuk Norhayati binti Rusli (Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Puan Suraiya binti Syed Mohamed, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat