Pelan Damai AS Untuk Iran: Tamatkan Nuklear, Longgar Sekatan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pelan damai merangkumi 15 perkara kepada Iran dalam usaha menamatkan konflik yang kini memasuki minggu keempat.

Menurut laporan media, cadangan itu disalurkan melalui Pakistan dan melibatkan beberapa isu utama termasuk program nuklear, peluru berpandu balistik serta keselamatan laluan maritim seperti Selat Hormuz.

Memetik Reuters pada Selasa, pelan tersebut menggesa Iran menghentikan pengayaan uranium, meleraikan keupayaan nuklear serta memberi jaminan tidak akan membangunkan senjata nuklear.

Selain itu, Tehran turut diminta menghentikan sokongan kepada kumpulan sekutu di rantau berkenaan dan memastikan laluan perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz kekal terbuka.

Sebagai balasan, Washington menawarkan penghapusan sepenuhnya sekatan ekonomi, bantuan pembangunan tenaga nuklear awam di Bushehr serta penarikan ancaman mekanisme “snapback”, iaitu kaedah mengembalikan semula sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu secara automatik sekiranya berlaku pelanggaran perjanjian.

Laporan sama turut menyebut bahawa AS sedang mempertimbangkan cadangan gencatan senjata selama sebulan bagi membuka ruang kepada rundingan lanjut.

Bagaimanapun, penasihat tentera kanan Iran, Mohsen Rezaei, menegaskan negaranya akan terus berperang sehingga beberapa tuntutan utama termasuk pampasan, pelonggaran sekatan dan jaminan tidak campur tangan dipenuhi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat