Pelan Induk Pendidikan perlu disusun semula – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih sejajar dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian itu di pejabatnya, semalam.

Menurut Anwar, antara isu utama yang dibincangkan termasuk pendidikan prasekolah, latihan guru serta pembangunan profesional berterusan (CPD), pemantapan institusi latihan guru, dan pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Turut disentuh ialah pengajian Tingkatan Enam dan matrikulasi, isu keciciran murid, pengurusan permit mengajar serta keperluan menyemak semula dasar sedia ada supaya lebih relevan dengan landskap pendidikan masa kini,” katanya.

Beliau menekankan bahawa segala cadangan hasil perbincangan itu perlu digerakkan segera secara menyeluruh dan berani demi masa depan generasi muda dan kelestarian sistem pendidikan negara.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian lalu atau terperangkap dalam perancangan silam. Dunia berubah pantas dan sistem pendidikan kita mesti responsif, berpandangan jauh serta mampan,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa setiap pelaburan dalam sektor pendidikan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu menghasilkan sistem yang lebih adil dan berkualiti demi kemakmuran masa depan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat