Pelan Tindakan Penguatkuasaan 2026: Langkah Strategik Perkukuh Integriti Negara

PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh integriti dan kecekapan institusi penguatkuasaan negara, Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah membangunkan Pelan Tindakan Penguatkuasaan 2026 melalui Focus Group (FG) Penguatkuasaan yang diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Asliza Ali, yang mengetuai FG Penguatkuasaan, menyifatkan pelan itu sebagai satu panduan strategik berasaskan data yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Pelan ini adalah ‘roadmap’ bersepadu yang menekankan reformasi penguatkuasaan secara menyeluruh selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus baik dan integriti sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Bengkel pembangunan pelan tersebut menghimpunkan pegawai kanan daripada 12 agensi penguat kuasa utama termasuk SPRM, PDRM, APMM, ESSCOM, JPJ, JIM dan KPDN.

Mereka bersama-sama memperhalusi rangka tindakan serta pelaksanaan inisiatif yang bakal menjadi tulang belakang kepada transformasi penguatkuasaan negara.

Pelan Tindakan Penguatkuasaan 2026 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan operasi.

Matlamatnya jelas adalah untuk memperkukuh imej Malaysia dalam penilaian CPI di peringkat antarabangsa.

Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sebelum ini telah menubuhkan enam Focus Group yang diketuai oleh agensi-agensi teras termasuk EAIC, Kementerian Kewangan, MPC, MITI, BHEUU JPM dan Kementerian Komunikasi.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam CPI menjelang tahun 2033.

Anda Mungkin Berminat