PETALING JAYA: Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah disifatkan sebagai titik tolak penting dalam perjuangan parti untuk masa depan rakyat negeri itu.
Pengerusi PKR Majlis Pimpinan Negeri Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, majlis itu adalah ikrar bersama untuk terus membawa suara rakyat serta memperjuangkan keadilan dan pembangunan yang saksama di Sabah.
“Alhamdulillah, pelancaran Jentera PRN17 PKR Sabah menandakan bahawa kita melangkah ke satu fasa penting dalam perjuangan rakyat Sabah.
“Majlis yang penuh bermakna ini merupakan satu ikrar untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih baik buat Sabah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mustapha turut berkata, semangat perjuangan perlu merangkumi seluruh negeri dari Kota Kinabalu hingga ke Tawau serta Sandakan ke Sipitang agar setiap rakyat Sabah mendapat hak dan peluang yang saksama.
“Setiap undi adalah satu langkah menuju perubahan, setiap sokongan adalah satu dorongan ke arah Sabah yang lebih adil dan makmur,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan jentera pilihan raya PKR terletak pada semangat juang yang cekal, berani dan berprinsip dalam memperjuangkan suara rakyat.
“Bersama-sama kita bangkit, bergerak dan pastikan Sabah berada di tempat yang sepatutnya dihormati, disegani dan sejahtera,” katanya.
Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas sokongan yang diberikan kepada jentera parti negeri.
“Kehadiran mereka mengingatkan kita bahawa perjuangan ini adalah tentang mengangkat suara rakyat, membela nasib masyarakat yang terpinggir dan memastikan Sabah menikmati pembangunan yang setara,” ujarnya.
Mustapha mengakhiri dengan seruan kepada seluruh rakyat Sabah agar turut serta dalam perjuangan ini demi memastikan masa depan negeri yang lebih stabil dan makmur.