KUALA LUMPUR: Adam Adli Abdul Halim yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi diberi ruang untuk melaksanakan idea dan janji yang pernah beliau suarakan sebelum ini, kata jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, pelantikan ini membolehkan Adam Adli meneliti cara terbaik melaksanakan dasar pendidikan tinggi dan kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara praktikal.
“Beliau akan diberi ruang untuk menilai cadangan yang pernah dicadangkan sebelum ini, dan jika mampu dilaksanakan, kerajaan akan menyokong pelaksanaannya,” kata Fahmi pada sidang media pada Khamis.

Fahmi berkata, pendekatan ini bukan sekadar janji politik, tetapi memastikan aspirasi pendidikan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat nyata kepada pelajar dan rakyat.
“Kerajaan memahami cabaran politik dan kontroversi yang mungkin timbul, namun pelantikan Adam Adli menunjukkan kepercayaan kerajaan untuk menggabungkan perspektif generasi muda dalam pentadbiran.
“Pelantikan ini dilihat sebagai langkah untuk mengekalkan kesinambungan dasar pendidikan tinggi, termasuk pelaksanaan program pendidikan percuma untuk golongan B40 melalui PTPTN, sambil memperkukuh transformasi pendidikan negara” katanya lagi.
Baca juga:








