PETALING JAYA: Pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan merupakan urusan kenegaraan yang penting dan perlu ditangani dengan penuh cermat serta berintegriti, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Baginda merujuk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri,” jelas baginda.
Sehubungan itu, baginda bertitah bahawa sebarang pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan secara sah dan berlandaskan undang-undang, agar kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dijadikan alat politik oleh mana-mana pihak.