Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: PAS menegaskan bahawa kenyataan kontroversi yang dikaitkan dengan seorang pemimpinnya di peringkat kawasan, seperti yang dilaporkan oleh media hari ini, merupakan pandangan peribadi individu tersebut dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah mengambil maklum dan memandang dengan serius berkaitan kontroversi terbabit.
Kontroversi berkenaan merujuk kepada satu hantaran di laman sosial milik individu yang merupakan salah satu pemimpin PAS yang menggambarkan andaian berhubung kepimpinan negara pada masa hadapan.
“Perlu ditegaskan bahawa catatan itu atau mana-mana catatan lain seumpamanya adalah
pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan.
“Malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS yang sah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan PAS, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti atau kenyataan rasmi yang dibuat dari masa ke masa,” katanya.
PAS sentiasa komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan
kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat sejagat yang perlu dipupuk dengan
sebaik-baiknya.
“Komitmen ini terakam dalam sejarah PAS sejak awal, selain terpancar dalam banyak inisiatif dan aktiviti parti yang tidak pernah kenal lelah,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, PAS menolak sebarang bentuk sikap perkauman yang mana sebarang kepelbagaian dan perbezaan latar belakang tidak boleh sama sekali dijadikan alasan atau sebab untuk berlaku tidak adil terhadap mana-mana anggota masyarakat.
“Ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghalang kemajuan, peluang, pencapaian, kebolehan atau cita-cita sah mana-mana individu dan kalangan,”
“Sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam PAS, selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.
katanya.
Pada masa yang sama, PAS turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng di atas pelantikannya sebagai pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia ATM.
“Pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat,
bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.
“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua
bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya,” kata PAS.
Terdahulu ,Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad telah memuat naik hantaran mengulas tentang lantikan Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara tersebut telah diselar oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai memperlekehkan kepercayaan ATM dan Agong.
Baca juga:








