Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu menamatkan spekulasi berhubung dakwaan campur tangan politik, khususnya melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pelantikan tersebut membuktikan bahawa kuasa mutlak dalam pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman masih terletak pada Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
“Nama Datuk Wan Ahmad Farid pun tidak pernah dikaitkan secara langsung dengan Perdana Menteri.
“Ini menunjukkan proses pelantikan berlaku secara profesional tanpa pengaruh luar,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Sebelum ini, isu pelantikan Ketua Hakim Negara menjadi perdebatan apabila timbul dakwaan kononnya Anwar cuba mempengaruhi pelantikan menerusi hubungan tertentu termasuk dakwaan kontroversi yang dikaitkan dengan ketua hakim sebelumnya.
Namun, pemilihan Wan Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang tidak terpalit dengan mana-mana kontroversi politik, disifatkan sebagai langkah yang mengembalikan keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.
“Pelantikan ini memberi hala tuju jelas bahawa pelantikan ketua-ketua hakim di Malaysia berada dalam kawalan Majlis Raja-Raja dan Agong, yang tidak menyebelahi mana-mana pihak berkepentingan,” tambah Azmi.
Beliau juga menegaskan bahawa sistem keadilan hanya boleh berfungsi dengan baik apabila institusinya bebas daripada pengaruh politik serta dipandu oleh prinsip ketelusan dan keadilan.
Pelantikan Wan Ahmad Farid dijangka memperkukuh lagi integriti badan kehakiman serta memperlihatkan komitmen institusi diraja dalam memelihara kedaulatan undang-undang di negara ini.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan rundingan dengan Majlis Raja-Raja. Majlis penyampaian watikah pelantikan akan diadakan pada 28 Julai di Istana Negara.