PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzulhilmi Zainol menegaskan bahawa pelantikan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah hak mutlak Perdana Menteri dan tidak seharusnya dipersoalkan.
Kenyataan itu susulan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh agar Tengku Zafrul melepaskan jawatannya dalam Kabinet berikutan keputusannya keluar daripada UMNO baru-baru ini.
“Alangkah lebih baik jika Akmal merujuk terlebih dahulu kepada Presiden partinya, adakah nama Tengku Zafrul dibawa oleh UMNO ketika proses memuktamadkan pembentukan Kerajaan MADANI?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dzulhilmi, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk memilih dan melantik mana-mana individu sebagai menteri, termasuk melalui lantikan senator.

Justeru, beliau menyifatkan tiada keperluan untuk Zafrul mengosongkan jawatan menteri seperti yang disuarakan Akmal.
“Kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI adalah sah dan tidak wajar dipertikaikan. Ini bukan soal emosi politik berjiwa kecil. Ini soal dasar negara dan kepentingan ekonomi,” katanya.
Mengulas peranan Zafrul, beliau menyifatkan tokoh berkenaan sebagai antara ‘frontliner’ penting negara dalam memperkukuh pelaburan asing dan kepercayaan global terhadap Malaysia.

“Peranan beliau dalam membelah badai perubahan geoekonomi dan geopolitik dunia, termasuk kesan perang tarif AS-China, amat besar. Malaysia berjaya mendepani ketidakstabilan dagangan global dengan cekap,” katanya.
Tambahnya, keupayaan Zafrul untuk meyakinkan pelabur antarabangsa dan komuniti perniagaan global merupakan aset penting kepada Malaysia sebagai negara dagang.
Dzulhilmi turut menasihatkan Akmal agar tidak terperangkap dengan retorik politik sempit dan sebaliknya melihat gambaran lebih besar demi kestabilan kerajaan.
“Jika ada kekeliruan, lebih baik diselesaikan melalui saluran dalaman parti, bukannya kenyataan terbuka yang boleh menggugat muafakat dalam Kerajaan MADANI.
“Ini bukan soal siapa menang, siapa kalah. Bak kata pepatah Melayu Jawa lama, ‘seribu kawan terlalu sedikit, seorang musuh terlalu ramai,” katanya.
Baca juga: