PETALING JAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menghadiri Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-269 di Istana Negara, yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pra-mesyuarat itu dilangsungkan menjelang sidang rasmi MRR ke-269 yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat dan bakal dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Sidang itu dijangka membincangkan beberapa agenda utama termasuk pelantikan jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri berkata, pengumuman rasmi berhubung pelantikan tersebut dijangka dibuat esok (Rabu) oleh Majlis Raja-Raja yang akan sekali gus meredakan polemik yang timbul sejak beberapa bulan lalu.
“Saya yakin keputusan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI terhadap agenda reformasi serta prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa mutlak untuk mengesahkan pelantikan beberapa jawatan penting seperti Ketua Hakim Negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan awam terutama daripada segi ketelusan dan integriti proses pelantikan, sekali gus mencabar kepercayaan terhadap institusi kehakiman.








