Pelarasan SST Tidak Beban Rakyat, Fokus Golongan Mampu – Pakar Ekonomi

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Pelarasan semula kadar dan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan kerajaan pada 9 Jun lalu dan bakal berkuat kuasa 1 Julai ini bukan langkah membebankan rakyat tetapi strategi fiskal bersasar untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

Menurut Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Aimi Zulhazmi, cukai yang dinaikkan serta diperluaskan hanya melibatkan golongan berkemampuan dan tidak menyentuh barangan keperluan harian rakyat.

“SST ini dikenakan kepada mereka yang mampu memiliki barangan mewah dan mampu berbelanja sesuai dengan pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Menurut beliau, semakan kali ini lebih adil berbanding sistem terdahulu kerana keperluan asas seperti makanan harian, ubat-ubatan dan input pertanian kekal bebas cukai.

“Jelas, peluasan SST kali ini adalah cukai penggunaan yang lebih bersasar dan bukan kepada umum,” jelasnya lagi.

Kerajaan sebelum ini menetapkan Cukai Jualan sifar peratus bagi keperluan asas seperti ayam, udang, buah tempatan dan simen.

Sebaliknya, barangan pilihan seperti buah import dan jentera industri dikenakan cukai lima peratus, manakala barangan mewah seperti basikal lumba dan lukisan antik dikenakan cukai 10 peratus.

Dr Aimi menjelaskan bahawa kesan terhadap inflasi dijangka minimum kerana hanya sebilangan kecil barangan dan perkhidmatan terlibat.

“Kenaikan kadar itu masih terkawal, mungkin naik sedikit sahaja kerana ia banyak melibatkan barangan bernilai tinggi dan mewah, bukan barangan keperluan utama,” katanya.

Pelaksanaan peluasan Cukai Perkhidmatan pula melibatkan enam sektor utama termasuk sewaan, pembinaan, kewangan, kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Namun, ia hanya dikenakan kepada golongan atau entiti tertentu.

Sebagai contoh, cukai kesihatan dan pendidikan swasta hanya dikenakan kepada bukan warganegara, manakala kontraktor kecil serta penyewa PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) dikecualikan.

Pada masa yang sama, Dr Aimi optimis dengan keberkesanan pelarasan ini, memandangkan ekonomi domestik terus rancak walaupun berdepan cabaran global.

“Bukan satu masalah untuk mencapai sasaran hasil kerajaan tambahan,” katanya, sambil menjangkakan sasaran RM5 bilion dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata, hasil tambahan daripada SST akan digunakan untuk menampung perbelanjaan negara yang semakin meningkat termasuk dalam sektor pendidikan, kesihatan dan bantuan rakyat.

Anda Mungkin Berminat