Perkasa bidang pelayaran, beri peluang pekerjaan luar negara

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Perkembangan industri perkapalan negara yang masih statik atau semakin menurun menyebabkan pelajar yang mengambil jurusan berkenaan kurang mendapat peluang pekerjaan di dalam negeri.

Presiden Persatuan Institusi Pendidikan dan Latihan Maritim Malaysia (MyMET), Datuk Kapten Jaffar Lamri, menjelaskan bahawa peluang pekerjaan bagi bidang perkapalan tidak begitu mendapat sambutan sama seperti industri yang lain.

“Usaha perlu ditingkatkan dan perlu dipandang secara jauh, namun bidang pelayaran ini boleh memberi ruang dan peluang buat pelajar untuk bekerja di luar negara.

“Daripada segi akademik maritim sebagai contoh, Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) umpamanya, banyak peluang kerja di darat.

“Mereka berpeluang mendapat kerja di mana-mana syarikat perkapalan yang berkait dengan maritim dan kerajaan.

“Peluang pekerjaan itu masih ada, yang penting industri perkapalan dan ekonomi perlu dikembangkan secara lebih lagi agar memberi peluang pekerjaan kepada pelajar jurusan berkenaan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, baru-baru ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan bahawa Malaysia harus berasa gusar kerana perkembangan industri maritim ketika ini tidak setimpal dengan kekuatan asas yang ada, termasuk legasi sejarahnya sejak dulu.

“Ketika ini 80 hingga 90 peratus eksport Malaysia dipacu menerusi pengangkutan laut atau maritim, sekali gus menunjukkan industri ini cukup penting dan berdaya saing.

“Saya percaya dengan sokongan industri ini, kita boleh memastikan bukan saja kita berada di kedudukan 20 teratas (sebagai pelabuhan terbaik dunia), tetapi mungkin boleh mencapai sepuluh teratas kerana kita mempunyai potensi,” katanya.

Justeru, Jaffar Lamri berharap agar pihak kerajaan meletakkan usaha yang tinggi untuk memperbaiki industri maritim menjadi lebih baik dan berdaya tahan pada masa akan datang dengan menyediakan peruntukan yang sewajarnya untuk mengembangkan industri tersebut.

Anda Mungkin Berminat