PETALING JAYA: Atas keprihatinan terhadap pemain serta pegawai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang telah berhadapan dengan cabaran kewangan besar telah menerima sumbangan tabung Aidilfitri bagi menceriakan persiapan menyambut hari raya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tampil menyampaikan sumbangan tersebut dalam majlis penuh keakraban di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah.
Beliau memuji usaha luar biasa jawatankuasa kecil yang berjaya mengumpul dana dalam tempoh kurang seminggu, hasil sokongan rakyat Kedah dan rakyat Malaysia yang prihatin.
“Situasi kewangan yang menjejaskan KDA FC bukan sekadar isu bola sepak tetapi memberi kesan kehidupan harian pemain dan pegawai pasukan.
“Saya percaya masalah tidak akan selesai dengan hanya menuding jari. Sebaliknya perlu ada usaha mencari jalan penyelesaian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk Yayasan Food Bank Malaysia serta individu dan syarikat yang memberi sumbangan.
Beliau berkata, hasilnya, pemain-pemain kini dapat menikmati sambutan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.
“Kita menyaksikan bahawa bola sepak bukan sekadar permainan di atas padang tetapi perjuangan yang memerlukan komitmen dan sokongan semua pihak.
“Saya yakin, dengan semangat ini, KDA FC mampu bangkit kembali,” tambahnya, optimis.
Pasukan KDA FC kini berdepan kemelut kewangan yang meruncing hingga pemain dan pegawai pasukan itu menghadapi tunggakan gaji hampir setahun dan kini berada di tangga ke-11 Liga Super.