Pemancing lemas di Empangan Tasek Pedu ditemui

Pemancing yang dilaporkan hilang di Empangan Tasik Pedu sejak Khamis lalu ditemukan mati lemas pada Ahad.

Mayat Ooi Swee Hin, 41, ditemukan pada 8.05 pagi oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, mayat ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi bot dinaiki mangsa terbalik.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Penemuan mayat ini sudah dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, mangsa ditemui pada pukul 8.05 pagi ketika operasi permukaan air dilakukan oleh bot bomba.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR dilakukan dengan kekuatan seramai 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Jitra serta Unit Anjing Pengesan K-19 JBPM dan dibantu Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Hutan daerah Padang Terap.

Beliau berkata, operasi SAR sebelum ini mengalami kesukaran kerana terdapat tunggul kayu di dasar yang boleh membahayakan anggota PPDA untuk menyelam sehingga ke dasar.

Sebelum ini, seorang lelaki masih hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu, Kuala Nerang, Khamis lalu.

Bagaimanapun, rakannya berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian itu sebelum pihak bomba tiba.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat