JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta mewah jenis Audi TT yang dipercayai hilang selepas melanggar beberapa kenderaan di Jalan Serigala, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden berlaku pada pukul 7.15 petang dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati kereta Audi TT yang datang dari arah Jalan Dato Sulaiman telah bertembung dengan sebuah Proton Persona dari arah Jalan Harimau.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Audi TT dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiga kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan dengan itu, pihak polis meminta pemandu yang terlibat untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hasrin Abd Rahman menerusi talian 019-7767756.