Pemandu Balik Kampung Disaran Rehat Setiap Dua Jam Elak ‘Microsleep’- Pakar

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Pemandu yang memandu perjalanan jauh semasa musim perayaan disarankan supaya berehat sekurang-kurangnya setiap dua jam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian selamat bagi mengelakkan keletihan serta risiko ‘microsleep’ yang boleh mengundang kemalangan.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata keselamatan jalan raya bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga kepatuhan pemandu terhadap peraturan keselamatan.

“Keletihan dan microsleep adalah antara penyumbang utama kemalangan semasa musim perayaan.

“Berehat secara berkala membantu pemandu kekal fokus dan mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Selasa.

Beliau menasihatkan pemandu supaya merancang perjalanan dengan teliti, memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan, serta membawa bekalan asas seperti air minuman dan makanan ringan.

“Persediaan awal, termasuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, dapat menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan ketika dalam perjalanan jauh,” ujarnya.

Tambahnya, pemandu disarankan supaya mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat, dan mengelak memandu secara agresif walaupun sesak di lebuh raya.

Sementara itu, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menekankan bahawa sikap berhemah bukan sahaja melindungi pemandu, tetapi juga penumpang dan pengguna jalan raya lain.

“Memandu secara berdisiplin adalah tanggungjawab setiap pemandu. Elakkan potong barisan, tukar lorong mengejut atau bersikap tidak bertoleransi dengan pengguna lain,” katanya lagi.

Bagi mereka yang membawa anak kecil atau warga emas, Jamil menekankan kepentingan mengutamakan keselamatan penumpang, termasuk memastikan tali pinggang keselamatan dipasang dengan betul dan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (child car seat).

“Keselamatan keluarga adalah keutamaan. Jangan ambil risiko semata-mata kerana mahu cepat sampai ke destinasi,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa membaca doa sebelum memulakan perjalanan adalah amalan yang digalakkan, terutama bagi pemandu beragama Islam, sebagai langkah tambahan memohon perlindungan sepanjang perjalanan.

“Perjalanan balik kampung sepatutnya menyeronokkan, tetapi yang lebih penting adalah selamat sampai ke destinasi. Perancangan, rehat, dan pemanduan berhemah adalah kunci,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat