KLUANG: Polis menahan seorang pemandu lori tempatan selepas tindakannya memandu secara melulu dan berbahaya hampir mencetuskan kemalangan di Kilometer 15.5 hingga 16, Jalan Renggam–Simpang Renggam, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Banrin Mohd Noh berkata, kejadian itu dikesan selepas satu rakaman video berdurasi 35 saat tular di media sosial pada 7 Mac lalu.
Menurut beliau, insiden berlaku sehari sebelumnya ketika sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Renggam menuju ke Simpang Renggam.
“Siasatan mendapati pemandu lori itu cuba memotong sebuah kereta di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan dari arah bertentangan.
“Tindakan berbahaya itu menyebabkan lori berkenaan hampir melanggar dua buah kereta yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan suspek pada 7 Mac bagi membantu siasatan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun serta didenda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah jenis methamphetamine, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun.
Sehubungan itu, polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.








