Seorang lelaki dipercayai pemandu kereta jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire tersepit di tempat duduknya selepas hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah jentera ‘backhoe’ di Kampung Kayan, Seri Manjung, Perak pada Sabtu.
Seramai 12 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Sitiawan telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT selepas menerima panggilan kecemasan berhubungan kejadian yang berlaku pada pukul 7.05 pagi.
Komander operasi, Khairul Azizi Kamaruddin berkata, terdapat tujuh orang mangsa yang terlibat dan salah seorang mangsa iaitu pemandu Vellfire seorang lelaki dewasa telah tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota Bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dan menyerahkan mangsa kepada pegawai perubatan KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Manakala, 6 lagi mangsa dalam keadaan selamat. Setelah selesai, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.50 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Khairul, pihak Bomba menuju ke lokasi kejadian sejauh 24 kilometer sebelum menemukan sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Vellfire yang terlibat dengan kemalangan melanggar bahagian belakang sebuah jentera ‘backhoe’.
Baca juga: